Satu lagi lokasi menarik yang sempat saya kunjungi pada waktu malam ialah sebuah bangunan yang dikenali sebagai White House Sarawak. Pada mulanya, saya agak tertanya-tanya juga, sejak bila Kuching ada White House? Hehe.
Rupa-rupanya bangunan tersebut merupakan Kompleks Satria Pertiwi, iaitu kompleks pejabat baharu Premier Sarawak yang terletak di Petra Jaya, Kuching. Bangunan ini telah dirasmikan pada 4 Ogos 2025 dan menjadi salah satu mercu tanda baharu pentadbiran negeri Sarawak.
Apa yang menarik perhatian saya sudah tentulah reka bentuk bangunannya yang begitu cantik dan megah. Dengan keseluruhan bangunan berwarna putih, tiang-tiang besar dan seni bina klasik yang tersusun, memang ada persamaan dengan White House yang terkenal di Washington, Amerika Syarikat.
Kalau tengok sekali imbas, memang terasa macam berada di luar negara pula. Haha.
Lebih menarik apabila bangunan tersebut diterangi cahaya lampu pada waktu malam. Warna putih bangunan kelihatan begitu menyerlah dengan latar belakang langit yang gelap. Tulisan besar berwarna emas "KOMPLEKS SATRIA PERTIWI" di bahagian hadapan pula menjadikan kawasan ini sangat sesuai untuk mengambil gambar kenangan.
Saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk bergambar di hadapan bangunan tersebut. Kawasan luarnya kelihatan kemas, dengan landskap yang terjaga dan suasana yang cukup menarik untuk bersantai sambil menikmati pemandangan.
Sempat juga saya meluangkan sedikit masa di kawasan hadapan bangunan ini. Walaupun hanya melihat dari luar, keindahan seni binanya sudah cukup membuatkan saya kagum.
Sedikit maklumat menarik, kompleks ini dibina bermula pada tahun 2023 dan siap pada tahun 2025. Ia menggantikan lokasi pejabat Premier Sarawak yang sebelum ini beroperasi di Wisma Bapa Malaysia sejak tahun 1976. Jadi, bangunan ini bukan sekadar cantik untuk bergambar, tetapi turut mempunyai kepentingan dalam pentadbiran negeri Sarawak.
Bagi saya, bangunan seperti ini memperlihatkan kemajuan pembangunan Sarawak yang semakin pesat. Bukan sahaja mempunyai kemudahan moden, malah reka bentuk bangunannya juga mampu menjadi tarikan dan kebanggaan masyarakat setempat.
Kalau berkunjung ke Kuching, bolehlah singgah untuk melihat sendiri keindahan White House Sarawak ini, khususnya pada waktu malam. Cuma memandangkan ia merupakan kompleks pentadbiran kerajaan, pengunjung perlulah mematuhi kawasan dan peraturan keselamatan yang ditetapkan.
Memang cantik! Tak perlu pergi Washington pun untuk bergambar berlatarbelakangkan bangunan ala-ala White House. Hehe.
No comments:
Post a Comment