++Do LIKE @ SHARE ARTICLE++

Saturday, October 10, 2020

Latihan berterusan membantu meningkatkan kemahiran nyanyian


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Hari ini saya ingin bercakap tentang topik nyanyian. Saya adalah seorang individu yang suka menyanyi sejak saya kecil lagi. Namun begitu, saya tidak pernah memikirkan bahawa pada suatu hari nanti saya akan menyanyi di atas pentas mempunyai penonton yang ramai.

Pada waktu dahulu kala, saya bukanlah seorang yang pandai menyanyi walaupun saya suka menyanyi. Walaupun saya ada menyertai kelab nasyid dan dikir barat dan mengikuti pertandingan di peringkat daerah, saya hanya sekadar menjadi peserta yang berada di belakang. Kerana saya tidak pandai menyanyi dan tidak ada keyakinan diri untuk menyanyi.

Kemudian, apabila saya berada di universiti, saya telah berkenalan dengan ramai kawan yang suka menyanyi dan pandai menyanyi. Mereka telah mengajar saya untuk pergi ke pusat-pusat karaoke untuk menyanyi. Disebabkan mereka, saya sudah pandai menyanyi di pusat karaoke di mana aktiviti ini tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Melalui aktiviti karaoke, kami sering menyanyi walaupun kami mempunyai masalah pitching, tempo, lontaran dan lain-lain lagi. 

Melalui aktiviti karaoke, saya menyedari bahawa kemampuan dan teknik nyanyian saya meningkat dari masa ke semasa. Selain itu, saya sering mendengar nyanyian penyanyi-penyanyi popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha omar, Siti Sarah, Ziana Zain, Anuar Zain, Ning Baizura, Fauziah Latiff, Peterpan, Hazami, dan lain-lain lagi dengan teliti. Saya cuba untuk menganalisa teknik-teknik nyanyian setiap artis tersebut. Setelah itu, saya berasakan bahawa nyanyian saya semakin baik.

Sehingga kini, menyanyi sudah menjadi hobi dan rutin yang sering saya lakukan jika saya ada masa lapang. Saya sering ke tempat-tempat yang ada menawarkan karaoke terbuka di atas pentas yang mana kita boleh menyanyi dan ada penonton yang akan menonton nyanyian kita. Di sini, saya berasa bahawa ia membantu untuk saya meningkatkan keyakinan diri apabila menyanyi dan juga apabila berada di khalayak ramai. Justeru, jika anda ingin meningkatkan kemahiran menyanyi anda perlu sentiasa membuat latihan dan juga mencari ilmu nyanyian. Lama-kelamaan anda akan mendapati bahawa nyanyian anda akan meningkat.